السلام عليكم
Apabila sahaja aku bersama pelajar-pelajar, soalan yang sama sahaja diajukan, "doktor, susah lah anatomi... ada cara yang lain yang lebih bagus tak?..."
Fikir-fikir semula... ya! Memang semua perkara pun kalau tak faham, semua jadi susah.. sebenarnya tiada jalan mudah menguasai ilmu ni melainkan dengan mengkajinya sendiri, berdiskusi dan menjawab soalan-soalan berkaitan. Pelajar-pelajar tidak seharusnya menyalahkan pensyarah sahaja sedangkan pelajar-pelajar harus membuat pembacaan dan kajian sendiri dan jika masih tidak memahaminya barulah terus merujuk kepada pensyarah. Pensyarah juga harus sentiasa meneruskan kajian dalam bidangnya masing-masing sambil memerhati dan mencari penemuan baru.
Kesilapan pelajar.
Pelajar perubatan, pergigian atau paramedik mempelajari anatomi sebagai sebahagian daripada subjek di universiti atau kolej perubatan. Antara kesilapan yang biasa dilihat di kalangan pelajar ialah mereka hanya mempelajari nota kuliah dan mengabaikan pengkajian yang lebih mendalam terhadap buku-buku pelajaran yang sedia ada untuk lebih memahami konsepnya dan fakta-fakta berkaitan. Alasan sebahagiannya ialah mereka tidak mempunyai masa untuk membacanya kerana perlu memberi perhatian kepada subjek lain seperti fisiologi, biokimia dan sebagainya.
Pada saya, soal masa bukanlah alasannya kerana saya juga melihat ada pelajar yang cemerlang.Saya akui ada pelajar yang sukar atau lambat memahami sesetengah topik, tetapi itu tidak bermakna anda mengambil mudah pelajaran anda.
Tiada jalan mudah
Subjek anatomi manusia kelihatan luarannya seperti sukar dan kompleks. Saya juga mengakui agak mengambil masa yang lama juga ketika menjadi pelajar di sekolah perubatan untuk memahami subjek ini. Ada beberapa perkara juga yang saya rasa boleh menjadi faktornya:
1. Faktor pensyarah
Ada sesetengah pelajar menghadapi kesukaran memahami bahasa Inggeris yang digunakan pensyarah ketika menyampaikan kuliah mereka. Bukan sahaja pensyarah warga asing malah pensyarah tempatan juga. Isi kandungan 'slide' kuliah mereka kadang-kadang terlalu padat atau terlalu ringkas sehingga pelajar sukar memahaminya dengan baik. Pemilihan gambar yang terlalu banyak label atau terlalu umum menyukarkan pelajar.
2. Faktor pelajar
Tidak saya nafikan pelajar sangat mengharapkan pembacaannya dipermudahkan oleh pensyarah, namun tiada jalan mudah bagi pelajar untuk menguasai pemahaman melainkan membuat nota sendiri.Percayalah, dengan membuat nota sendiri anda akan mudah memahaminya dan apabila anda mahu mengulangkajinya, anda boleh melakukan dengan masa yang singkat dan hafalan anda menjadi bertambah baik kerana anda tidak membacanya seperti kali pertama.
Anatomi itu mudah, janganlah memberatkannya.
wassalaam
Sebahagian Faedah Puasa Syar'i Islam
9 years ago
No comments:
Post a Comment